SEKIAN lama tidak menghidupkan watak gadis liar, pelakon serba boleh, Nabila Huda Suhaimi me­ngaku segan apabila menonton lakonannya dalam filem Jalan Kembali... Bohsia 2 yang akan menemui penonton, Khamis depan.

Karya sentuhan Syamsul Yusof itu menyaksikan Tasya lakonan Nabila yang semakin jauh hanyut apabila bergantung hidup dengan samseng jalanan, Keting (Sofi Jikan). Bukan saja menjadi pemuas nafsu Keting, bahkan Tasha taksub dengan dadah dan terbabit dengan jenayah rompakan.


Ketika ditemui sejurus selepas prebiu filem itu baru-baru ini, Nabila menjelaskan, dia berdebar dan risau dengan reaksi penonton. Antara persoalan bermain di mindanya, adakah penonton dapat menerima persembahannya sementelah sudah lama dia tidak melakonkan watak sebegitu.


“Sejak tahun lalu, saya banyak melakonkan watak positif dan wanita berkerjaya. Kali terakhir saya jayakan watak gelap adalah menerusi filem ini dan kalau ikutkan, penggambaran dilakukan selepas saya melahirkan anak dan baru sekarang ditayangkan.



“Sejujurnya, saya risau dengan penerimaan penonton. Yelah, takut pula ada yang anggap persembahan saya nampak ‘over’. Lagipun dengan peningkatan usia, rasa tak sesuai pula bawa karakter remaja liar,” katanya yang menyifatkan sekuel Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam ini antara sentuhan terbaik Syamsul apabila ada elemen aksi, komedi, drama dan sentuhan kerohanian.


Berbual lanjut perkembangan terbaru selain filem terbitan Skop Productions yang turut dibintangi Syamsul sendiri, Salina Saibi, Zizan Raja Lawak dan Serena Redzuawan itu, ibu kepada si comel, Kheisya Laila ini baru saja tamat penggambaran drama Nikallaya untuk TV AlHijrah yang menuntutnya bertutur dalam bahasa Thai dan dialek Kelantan.




Selama 35 hari berkampung di Jitra, Kedah, Hatyai dan Songkla, Thailand, Nabila berdepan pengalaman yang sungguh memenatkan, malah baginya, inilah produksi paling mencabar setakat ini.

Selain terpaksa berjauhan dengan puteri tunggal kesayangan, bukan mudah menggunakan bahasa yang asing dalam hidup sehariannya. Bahkan, berkomunikasi dengan pelakon dari negara gajah putih umpama itik dan ayam bercakap.

“Terus-terang, saya tidak tahu bercakap dialek Kelantan dan bahasa Siam. Di situ juga saya belajar dan bagi mengelakkan salah dialog, saya terpaksa berpandukan kepada kad disediakan kru.

“Boleh dikatakan semua sudut ada kad yang tulis dialog. Nak bercakap dengan rakan pelakon dari Thailand pun susah sebab mereka tidak tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris.

“Karakter saya sebagai gadis Siam bernama Nikallaya yang mukanya buruk sebelah banyak bermain dengan emosi. Memang tertekan di lokasi, bahkan saya tidak pernah rasa sepenat ini,” katanya yang berlakon di samping Iqram Dinzly, Shah Iskandar dan Normah Damanhuri.

Tambahnya, dia tidak betah berjauhan dengan Kheisya terlalu lama, oleh itu apabila penggambaran dilakukan di Hatyai, puteri sulungnya turut dibawa bersama.

Sepanjang 10 hari, dia terasa sangat bahagia apabila Kheisya ada di sampingnya, bahkan lebih bermakna apabila berkesempatan meraikan Hari Ibu dan ulang tahun kedua si kecil.

Saat diusik sudahkah ada pengganti, pantas Nabila menggelengkan kepala. Seraya tersenyum dia berkata, misinya kini bukan mencari cinta, sebaliknya masih banyak perkara lebih penting perlu diutamakan, lebih-lebih lagi perihal Kheisya.

Sebagai ibu tunggal, dia sedar tanggungjawab digalas bukan mudah. Justeru, ada baiknya dia melupakan soal cinta buat sementara waktu.

“Saya bukan jenis yang mudah jatuh cinta, malah saya tahu dengan status ibu tunggal, bukan senang orang dapat menerima saya. Bohonglah kalau saya kata tak pernah fikir soal hati, tetapi saya tidak terbawa-bawa. Mungkin kerana saya selesa dengan apa yang saya ada sekarang.

“Tidak dinafikan, sesekali sedih juga mengenangkan perjalanan hidup ini tetapi sebagai manusia, saya kena terima. Sudah tertulis jodoh saya tidak panjang dan saya kena teruskan hidup demi Kheisya.

“Kalaupun ada jodoh selepas ini, biar orangnya luar daripada industri seni. Rasanya lebih selesa begitu. Pun begitu, siapalah saya untuk menolak takdir, andai tertulis orangnya di kalangan penggiat seni, saya reda,” katanya tenang.

Puteri kesayangan rocker legenda, Amy Search ini turut meluahkan rasa kurang senang apabila ada suara mempertikai siapa akan menguruskan Kheisya memandangkan dia sibuk bekerja.

Sebagai ibu, dia bertanggungjawab memberikan kehidupan terbaik buat puteri kesayangannya, bahkan dia perlu mencari rezeki demi menanggung hidup mereka anak beranak.

“Hanya Tuhan mengerti betapa rindunya saya pada Kheisya bila terpaksa berada lama di lokasi penggambaran. Mungkin luaran saya nampak riang, dalam hati saya sebenarnya fikir dan risaukan Kheisya.

“Mana-mana ibu pun kalau boleh mahu anak ada di depan mata, tapi apakan daya ada yang kena bekerja demi kelangsungan hidup.

“Saya kena bekerja untuk mencari rezeki buat kami berdua. Saya tidak boleh bergantung harap dengan orang lain dan kena bekerja keras,” katanya.


nota bijik: aku sk lakonan nabila huda nie..beliau kalo berlakon watak jaat ke baik ke..mmg best...mmg menjadi...ha nk tgk lah lakonan dia lam Bohsia 2 ni dia ckp Thai..hehehe
kurus ramping dia beb..caner eh dia leh cantek cam tu...katanya x mkn nasi setahun?betul ke?




1 Ulasan

  1. ehem semakin cun nabila sejak jadi MJ ni..he2x..pandai kan dia berlakon..

    BalasPadam

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama